{ ermilia } Menu

Bencana Ketika Berpantang

Rate this Post:

{[['', '', ''], ['', '', ''], ['', '', ''], ['', '', ''], ['', '', '']]}

Permalink:

“… Isteri-isteri kalian itu adalah sebagai pakaian bagi kalian dan kalian pula sebagai pakaian bagi mereka…” [Al-Baqarah 2: 187]


Terlalu banyak kes yang berlaku, rumahtangga dipukul badai semasa isteri mengandung dan berpantang. Ada masanya, seorang suami tidak dapat mengadakan hubungan intim dengan isterinya pada suatu tempoh yang amat panjang atas sebab yang pelbagai.
Ada isteri yang alah kepada bau suami semasa mengandung! Besar sungguh ujiannya.
Ada isteri yang dingin dan hilang keinginan tatkala dirinya berbadan dua. Suami menderita dan dirinya bersahaja.
Dan tidak dinafikan suami dan isteri ‘tidak berpengetahuan’ tentang kaedah-kaedah yang diharuskan oleh Syara’ untuk mereka bersama dalam keadaan diri yang terbatas.

PENGETAHUAN TENTANG SEKS
“Berhentilah melucahkan seks!”,
Melucahkan seks bermaksud menjadikan seks sebagai subjek yang taboo, menjadi bahan ketawa dan senyum senget atas pelbagai persepsi mengenainya. Malah mungkin dianggap ‘gatal’ atau ‘gelenyar’ mengikut istilah Pantai Timur, tatkala seks mahu diperkatakan.
Lebih buruk, apabila seks menjadi bahan gurau senda dan bahan ketawa, hingga hilang kehormatan dan maruah subjek seks untuk ia diajar dan dipelajari.
Fikirkanlah bagaimana seorang suami yang jahil tentang kaedah intimasi mereka, berdepan dengan situasi yang menghalang mereka daripada mengadakan hubungan intimasi dek keterbatasan pengetahuan tentang cara, pilihan dan ruang-ruang yang diberikan oleh Islam.
Isteri mengandung.
Isteri berpantang dengan nifas.
Suami yang lemah tenaga batin.
Suami yang keletihan akibat tekanan kerja.
Kesemua situasi ini merupakan rutin atau masalah biasa yang mendatangi kehidupan berumahtangga dari semasa ke semasa. Bagaimanakah keadaan hubungan suami isteri, jika timbul sahaja keadaan seperti ini, mereka mengalah daripada melaksanakan salah satu maksud perkahwinan iaitu memenuhi naluri seksual seorang lelaki dan perempuan?
Ini belum mengambil kira soal tiadanya ransangan-ransangan yang sepatutnya menjadi hiasan hubungan antara suami dan isteri.
Isteri siang malam berbaju kelawar bertepek muka dengan bedak sejuk, tangan berbau bawang dan sanggul senget benget berikat gelung getah kuning. Suami pula selekeh dengan singlet Pagoda®, berkain pelekat, berbau hapak dan berjanggut berjambang tidak dikemas.
Apakah nilai rumahtangga yang ada pada suami dan isteri seperti ini?

ANTARA HAK DAN PERANAN
Namun, semua ini sulit untuk berfungsi dengan baik di dalam sebuah rumahtangga apabila masing-masing bercakap tentang hak dan bukannya peranan. Siapakah yang sepatutnya menunaikan hak isteri jika suami menolak peranan dengan alasan letih, sibuk, atau dengan celanya memberikan alasan “mana ada Tuhan laknat suami yang menolak isteri!” Astaghfirullah al-Azeem.
Siapakah yang sepatutnya menunaikan hak suami jika isteri menolak peranan dengan alasan letih, alah, mengandung, berpantang dan lain-lain?
Akan tetapi jika suami dan isteri kembali kepada konsep hidup memberi, dan lebih memikirkan peranan berbanding hak yang diminta tunai itu, maka suami akan memainkan peranannya, walaupun sekadar untuk memenuhi keperluan isteri dan tidak dirinya. Seorang isteri akan memainkan peranannya, walaupun sekadar untuk memenuhi keperluan suami dan tidak dirinya.

Sunnah mengajar kita bagaimana ketika Aisyah Radhiyallahu ‘anha berada dalam keadaan berhadas besar (berhaidh), Nabi Muhammad Sallallahu ‘alayhi wa sallam meminta Aisyah memakai pakaian yang khusus agar baginda dapat bermesra dengan isterinya tanpa melanggar batas-batas syara’. Malah Baginda sallallahu ‘alayhi wa sallam juga pernah mencium isteri baginda ketika berpuasa.
Hal-hal ini terakam dengan baik di dalam Sunnah Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam.

BERCAKAP TENTANG SEKS DENGAN PASANGAN
Justeru dalam keterbatasan sumber yang membelenggu kita, kaedah terbaik ialah dengan berbincang dan bercakap dengan pasangan masing-masing tentang keinginan suami dan isteri. Jangan terasa aib untuk berbincang dengan isteri berkenaan dengan perkara-perkara yang boleh membantu suami memenuhi keinginan dirinya, selagi mana hal ini berada dalam lingkungan keharusan syara’.  Tanyalah suami, apakah bentuk layanan yang beliau mahukan agar keinginan dapat ditunaikan, tanpa perlu beliau itu liar kemahuannya meninggalkan yang halal mencari yang haram.
Jangan pula begitu selamba berlawak dan bersembang lucah di tempat kerja, tetapi malu dengan pasangan sendiri! Kalau dengan kawan bukan main lagi, tetapi dengan suami sendiri atau isteri sendiri, terasa beku, kaku dan buntu. Jika Islam melarang suami isteri bercakap tentang seks semasa ihram, ertinya di luar ihram, jadikanlah seks sebagai sebahagian daripada perkara yang diperkatakan antara suami dan isteri.
Jangan lucah di daerah yang haram, terpinga-pinga di medan yang halal. Nanti dilaknat Tuhan!
Renung-renugkanlah dan selamat beramal!!!

Sumber: Saifulislam.com



No comments:

Post a Comment

Jom Comments...

Search